KUMPULAN Bunkface yang dianggotai tiga anak muda, Shamsul Annuar Mohd Baharom (Sam), Ahmad Farhan Hashim (Paan) dan Mohd Farouk Jaafar (Youk) pantas mencuri ruang yang terbentang di depan mata. Bermula dengan aliran indie sejak 2005, mereka mengukuhkan label di arus perdana dengan lagu berbahasa Melayu berjudul Situasi. Tidak dinafikan kebangkitan genre muzik yang diperjuangkan mereka iaitu pop punk dan rock terus mengisi ruang seni di negara kita. Pencapaian yang diterima mereka juga boleh dianggap luar biasa dan ia memberi indikasi kesungguhan dan keseriusan mereka untuk memanjangkan legasi industri hiburan tempatan.
Terbaru, nama mereka turut bolos dalam kategori Penyanyi Duo/Kumpulan Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009 dan bersaing dengan Adam dan Stacy, Hujan, Meet Uncle Hussain dan 6ixth Sense. Januari lalu, lagu Situasi juga mara ke Anugerah Juara Lagu ke-24.
Selepas sekian lama menanti, kumpulan yang turut menyinar dalam Anugerah Shout! Award 2009 anjuran 8TV tahun lalu ini tampil dengan album sulung mereka berjudul Phobia Phoney. Album yang berada di pasaran hujung minggu lalu memberi simbolik di atas apa yang dilalui mereka selama ini.
Menurut Sam selaku vokalis dan gitaris kedua, album itu menterjemahkan segala versi perasaan mereka ketika memulakan langkah melebarkan bakat seni hingga sekarang. Phobia Phoney ditafsirkan Sam sebagai penipuan palsu dan menerangkan perjalanan dunia seni yang penuh suka duka.
“Album ini menjadi simbolik mengetengahkan kenyataan perasaan kami dalam meluaskan hayat seni Bunkface. Dulu kami takut dan gerun untuk mengeluarkan album. Perjalanan kerjaya seni seperti kami bertatih mencari konklusi dan hala tuju yang sebenarnya.
“Album ini juga menceritakan mengenai segala macam kepayahan yang pernah dilalui termasuk perihal kehidupan, pengalaman, pahit manis dan entiti cinta. Kami juga sepakat untuk tidak memaparkan wajah kami sebaliknya hanya menggunakan logo Bunkface melalui perbincangan dengan penaja kami, Abstrax Jingga,” kata Sam ketika majlis sidang media pelancaran album ini diadakan di premis hiburan Hard Rock Cafe baru-baru ini.
Album itu diterbitkan sendiri Bunkface menerusi syarikat milik mereka iaitu Bunkface Production Enterprise. Buat permulaan sebanyak 2000 cetakan diedarkan sendiri Bunkface dan ia akan turut dijual di stor muzik berhampiran dengan harga RM29.90.
Ditanya mengenai kenapa album ini lewat menemui peminat, Bunkface mempunyai alasan tersendiri. Berbajetkan lebih kurang RM15,000, album itu terhasil dengan duit simpanan mereka sendiri yang dikumpul daripada tabungan membuat persembahan di samping sokongan ahli keluarga dalam bentuk pinjaman.
“Ikutkan memang kami sudah lama mahu tampil dengan album sulung, namun disebabkan sejak tahun lalu jadual kerjaya seni agak padat hingga menyebabkan hasil kerja kami tertangguh. Peringkat praproduksi album ini bermula sejak akhir 2008 hinggalah akhir tahun lalu.
“Kalau nak diukur tahap kepuasan, kami harus akui belum puas sepenuhnya. Dalam mencari hala tuju itu, kami masih mencari identiti genre muzik kami yang sebenarnya termasuk aspek teknikal dan konsep serta bunyi muzik yang kami bawa. Untuk permulaan, kami tak boleh mengharapkan yang terbaik,” celah Youk.
DALAM pada itu, kumpulan ini turut ditanya mengenai hubungan mereka dengan sesetengah pihak media yang dilihat agak renggang kebelakangan ini. Bertalu-talu cerita mengenai mereka terutama perangai Sam sendiri yang dilihat tidak begitu mesra media.
Ada yang cakap mereka memang sudah tak kuasa nak melayan dan mengelak bertemu media, membatalkan fotografi pada saat akhir dan macam-macam lagilah. Sikap Sam begitu dikatakan berpunca daripada keengganan yang tidak mahu soal kerjaya dicampur-adukkan dengan peribadi yakni kisah percintaannya dengan Juliana Evans.
“Kami akui kelemahan yang ada. Kami masih baru, muda dan kadang kala tersasar daripada landasan sebenar. Sebagai artis baru, kami tidak tahu selok belok arus perdana dan masih dalam peringkat untuk mendekatkan diri dengan pihak media.
“Kami akan terus menjernihkan kembali hubungan dengan pihak media. Kami ambil semua daripada sudut positif dan cuba mengatasi jurang dengan media. Malah saya dan Paan juga sering berbincang dengan Sam untuk kebaikan bersama. Cuma kami lebih selesa mengatakan untuk berkongsi hal kerjaya dengan peminat dan rakan media berbanding soal hati,” kata Youk sambil memberitahu selepas lagu Ekstravaganza mereka akan mempromosikan lagu Soldier pula.
Dapat pencalonan AIM dalam tiga kategori
KETIKA sidang media pelancaran album ini berlangsung, turut sama berlangsung ialah sidang media mengumumkan calon Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-17. Bunkface dicalonkan untuk tiga kategori dalam AIM 17 iaitu Artis Baru Terbaik, Lagu Rock Terbaik (lagu Situasi) dan Lagu Inggeris Tempatan Terbaik (lagu Prom Queen).
Untuk kategori Artis Baru Terbaik, Bunkface berentap hebat dengan Azlan & The Typewriter, Tomok, Yuna dan Prema Yin. Seperti pencalonan mereka di dalam ABPBH 2009, sama juga dengan AIM 17, mereka tidak meletakkan harapan tinggi menggunung untuk menang.
“Kami sendiri tak menyangka apabila diberitahu teman yang kami tercalon di AIM 17. Kami letakkan segala keputusan kepada juri profesional yang memilih dan begitu juga dengan di ABPBH 2009 yang semuanya terletak di tangan peminat yang mengundi,” kata Youk.
Dalam perkembangan lain, Bunkface sedang merancang untuk mengadakan siri jelajah bagi mempromosikan album itu. Kalau jadi, Bunkface juga akan ke United Kingdom pada pertengahan tahun ini untuk menyertai Maldives Breakout Festival.
“Tahun lalu, kami diundang membuat persembahan dalam festival yang sama di Maldives tetapi tahun ini ia diadakan di United Kingdom pula. Persembahan yang dulu, kami ada juga menyanyikan lagu Melayu di sana dan insya-Allah kami akan melakukan hal yang sama pada kali ini,” kata Youk mengakhiri bicara
sumber berita harian 24/3/2010

0 comments:
Post a Comment